Thursday, December 10, 2009

BTN - AGENDA YANG TERSIRAT

Tiada untungnya, hapuskan saja BTN

Sabaruddin Hassan Nov 26, 09 1:08pm

Saya ingin memberi pandangan tentangan keputusan kerajaan negeri Selangor yang mengharamkan kakitangannya menghadiri kursus anjuran Biro Tatanegara (BTN).

Bagi saya, ia satu keputusan yang tepat dan wajar memandangkan kursus-kursus yang dianjurkan itu menjurus kepada perpecahan rakyat Malaysia dan bertentangan dengan konsep 1Malaysia.

Saya yang pernah menghadiri kursus berkenaan beberapa tahun dahulu yang dinamakan Kursus Induksi Umum yang diwajibkan bagi kakitangan awam merasakan modul-modul yang diterapkan dalam kursus berkenaan lebih berbentuk rasis dan propaganda parti pemerintah.

Para penceramah kebanyakannya terdiri daripada Pemuda Umno yang dilatih khusus untuk mengendalikan kursus berkenaan dan bertindak sebagai fasilitator.

Walaupun jawatannya sebagai "pegawai tadbir" BTN (kebanyakannya kakitangan kontrak), tetapi mereka sebenarnya anggota Pemuda Umno di peringkat bahagian atau negeri.

Pakaian mereka juga seragam Pemuda Umno, iaitu berbaju putih, berseluar gelap dan berkasut hitam. Malah para peserta lelaki juga diwajibkan mempunyai dan memakai baju putih dan berseluar gelap seakan-akan pakaian seragam Pemuda Umno.

Dalam ceramah yang disampaikan oleh fasilitator ini, mereka mengindoktrinasi para peserta dengan fahaman 'kebangsaan', dan diselitkan dengan unsur-unsur 'kepartian' BN.

Fasilitator selalunya menerangkan, mengangkat dan memuji setiap dasar yang dijalankan atau isu-isu yang dijuarai oleh kerajaan, walaupun kadang-kadang terdapat juga dasar-dasar yang merugikan rakyat dan bertentangan dengan kehendak rakyat.

Sebagai contoh nyata, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang terbukti merugikan rakyat dan isu-isu seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang ditentang oleh kebanyakan rakyat.

Dalam ceramah agama juga diselitkan dengan propaganda-propaganda tertentu yang menyokong aliran dan fahaman sesuatu pihak.

Biasanya pandangan agama yang tidak memihak kepada kerajaan akan disanggah walaupun ia betul, dan tokoh-tokoh agama yang tidak sealiran dengan parti pemerintah akan dikutuk dan dicaci.

Dalam ceramah itu juga, para peserta ditayangkan dengan klip video tertentu yang mengutuk pihak pembangkang.

Contohnya tayangan video klip peristiwa Memali ditayangkan bersama klip video beberapa ajaran sesat yang lain seperti kumpulan Jubah Putih (Johor), ajaran Ayah Pin (Terengganu) dan keganasan komunis.

Tidak dapat dinafikan bahawa beberapa ajaran sesat dan gerakan komunis itu mengancam akidah dan keselamatan negara, tetapi apa pula motif ditayangkan klip video peristiwa Memali dengan ulasan yang mengutuk sedemikian rupa?

Dalam ceramah agama yang kesemua pesertanya beragama Islam dan Melayu, kerana peserta agama lain diasingkan dengan ceramah moral, penceramah ini yang entah mempunyai tauliah atau tidak akan membacakan teks yang disediakan.

Kandungan teks merupakan ulasan atau ceramah politik semasa, bukannya isu agama yang membincangkan soal tauhid atau fiqah, jauh sekali mengenai al-Quran atau as-Sunnah.

Di kesempatan ini, penceramah akan memasukkan unsur-unsur kepentingan "kaum" dan "bangsa", menjadikan ia platform paling sesuai untuk mengutuk dan menghentam bangsa dan agama lain.

Di akhir kursus pula, para peserta akan menghadapi satu ujian bertulis atau "peperiksaan" untuk menilai sejauh mana kefahaman kita terhadap "kenegaraan", "kerajaan" atau "kebangsaan", tetapi kebanyakan soalan yang ditanya menjurus kepada kecenderungan untuk menilai fahaman politik para peserta.

Soalan-soalan juga ada yang tersasar daripada fakta sebenar, tetapi lebih kepada mengampu dan membodek.

Mungkin peserta dijadikan bahan ujikaji untuk mengukur sejauh mana penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan, atau untuk mengetahui berapa ramai yang menyokong kerajaan, dan berapa ramai pula yang menentang kerajaan.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya ini, kata-kata timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kursus BTN tidak bermotifkan indoktrinasi politik - tetapi sebaliknya ia menerapkan semangat kenegaraan dan perpaduan masyarakat selaras dengan konsep 1Malaysia - boleh disanggah.

Tujuannya murni tetapi yang berlaku adalah sebaliknya, kerana manusia yang mengendalikannya akan mengambil peluang atau kesempatan yang ada mengikut kepentingan dan arahan sang ketua.

Dengan tulus ikhlas saya berpendapat bahawa kursus anjuran BTN ini tidak lagi sesuai diadakan untuk kakitangan awam pada zaman sekarang, kerana ia lebih banyak muslihat daripada maslahat (kebaikan).

No comments:

Post a Comment